Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan manakala kuat rasa keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang dijalannya, semangat dalam mereali-sasikannya, dan kesiapan untuk beramal serta berkorban dalam mewujudkannya.
Keempat rukun ini, yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karakter yang melekat pada pemuda. Kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertakwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora dan dasar amal adalah kemauan yang kuat. Hal itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda

(Hasan Al-Banna)

Jun 17, 2011

Abun menulis menulis tentang Material,Negara dan Ruang Awam

Hiburan di kota besar dalam semalam, sama dengan biaya pembangunan di sepuluh desa! Apakah semua negara yang ingin maju harus menjadi negara industri..Kita telah dikuasai mimpi..Kita telah asing di negara sendiri. (Sajak Sebotol Bir) ~ WS Rendra



Bagaimana manusia melihat moden itu? Adakah dengan memaparkan gambaran pembangunan blok-blok bangunan yang terbina atas dasar kemegahan? Misalnya, citarasa kemegahan Putrajaya di balik tembok-tembok gah yang menelan kos berbilion ringgit sudah membuktikan masyarakatnya lebih intelektual daripada yang lain?

Rendra di dalam bait-bait puisi sudah mula mengkritik hemat-hemat sang penguasa yang kononnya hanya dengan membina kemegahan material sudah berjaya membuktikan bahawa merekalah yang membangunkan masyarakat Indonesia. Sebenarnya, apakah persoalan yang cuba dicetuskan beliau? Adakah masyarakat sudah tidak terbeban dengan kepesatan globalisasi dimana dengan menciptakan mitos bahawa Indonesia sudah mendepani arus kemodenan, lantas rakyatnya juga sudah terelak daripada faktor kemiskinan? Ternyata, Rendra melihat bahawa kebijakan pemerintah Indonesia menciptakan retorik bahawa material itu sumber ukuran kepada kejayaan masyarakat hanyalah sesuatu yang palsu. Dia percaya bahawa kayu ukur kepada pembangunan institusi kemasyarakat bukanlah terletak pada hemat material tetapi kesediaan masyarakat untuk hidup di dalam ruang wacana segar yang memberikan 'input' berguna terhadap keberlansungan kehidupan masyarakat seharian.


ASAL MULA NEGARA (DAULAH)

Menurut Ibn Khaldun manusia diciptakan sebagai makhluk politik atau sosial, yaitu makhluk yang selalu membutuhkan orang lain dalam mempertahankan kehidupannya, sehingga kehidupannya dengan masyarakat dan organisasi sosial merupakan sebuah keharusan (dharury) (Muqaddimah: 41). Maka, di dalam Muqadimah, tafsiran tentang kewujudan negara itu bukanlah untuk membina kemegahan dimana dimensi material itu diangkat untuk menjadi ukuran kenegaraan tetapi adalah berkenaan hak yang diamanahkan oleh masyarakatnya melaksanakan dasar-dasar yang membebaskan manusia daripada belenggu penderitaan yang mencengkam warganya. Lantas, hubungan siasah antara rakyat dan pemimpin seharusnya digariskan dengan mekanisme pembangunan ketamadunan masyarakat dan bukan dengan kehebatan pemimpin-pemimpinnya berlumba untuk membina dan mengimaginasikan struktu dan bentukr bangunan yang lebih futuristik. Ternyata, konseptual yang digagaskan Ibn Khaldun ini gagal untuk dihadam oleh pucuk pimpinan kerajaan.

Selain itu, Ibn Khaldun juga membahaskan bagaimana teori kenegaraan itu wujud di atas dasar kebersamaan manusia. Hubungan cinta dan kasih sayang itulah yang menjana bentuk daulah yang diilhamkan. Kegagalan untuk melihat dan memahami penderitaan rakyat jualah yang menjurus kepada mitos yang menciptakan 'material' sebagai kayu ukur utama untuk membangunkan sebuah bangsa. Pada pendapat saya, pembangunan material bukanlah sesuatu yang salah tetapi ia seharusnya sejajar dengan pembangunan minda dan tahap upaya pemikiran rakyat untuk terus memastikan 'survival' itu berlangsung. Paradigma yang tercipta seharusnya menepati kehendak masyarakat yang penuh dengan harapan. Harapan yang saya maksudkan di sini adalah potensi warganya membina gagasan yang memberikan pulangan kepada mereka, tidak semestinya di dalam bentuk yang 'kelihatan' tetapi cukuplah sekadar mencipta arus penggerak ketamadunan itu sendiri.



RUANG AWAM CETUSAN HABERMAS.

Filusuf terkemuka, Jurgen Habermas yang merupakan penggerak Sekolah Frankfurt yang terkenal sebagai aliran 'The New Leftist' memberikan perspektif tentang bagaimana masyarakat itu membahaskan idea dan gagasan mereka. Rasionalisasi komunikasi yang diilhamkan beliau memberi paparan bagaimana wacana ruang awam dapat menyumbang kepada bentuk masyarakat yang lebih sihat. Mungkin, bahasa Hegel tentang minda 'Tuan-Hamba' sudah tidak lagi sesuai menjadi kayu pengikat dan instrumen untuk melahirkan dasar yang autentik. Minda subjek-objek ini tidak lagi dapat untuk mencerminkan kegentingan masyarakat menentukan hala tuju sesebuah negara.

Ruang awam yang dicetuskan ini memberikan kata putus kepada permasalahan yang membungkam masyarakat. Seperti yang sedia maklum, di dalam epistemologi negara hukum sendiri telah menggariskan bahawa undang-undang itu terbina daripada dasar-dasar wacana ilmiah bukanlah hukuman atau implementasi akta-akta yang mengawal atur hidup masyarakat. Lantas, wacanalah yang menjadi jambatan antara rakyat dan pemerintah melahirkan aturcara sistem.

Di dalam ruang awam, hubungan antara agama dan intelektual misalnya, ianya telah digariskan di atas nama wacana bukan tentang analogi hukum atau aturan yang ditetapkan. Sebagai contoh, akibat daripada ketegangan di Iran dimana konsep negara teologi bertarung dengan konsep sekularisme, Habermas, walaupun mendukung sebuah negara sekular, namun pernah menyatakan dalam pertemuannya dengan Pope Benedict bahawa perlunya sebuah negara sekular yang mesra agama. Maka, idea “ruang awam dan ruang peribadi” tajaan Habermas mendapat tempat dalam wacana kenegaraan di Iran.

Seharusnya, perkara yang lebih dasar patut diberi keutamaan. Keutamaan yang saya maksudkan di sini kontrak sosial berkerajaan itu sepatutnya mendokong perkara yang lebih jelas iaitu pelaksanaan kebajikan terhadap masyarakatnya kerana material itu hanyalah 'supplementary factor' atau faktor tambahan yang menjana pembangunan kepada masyarakat. Dan akhirnya kita akan mengerti pembangunan intelektual itulah yang membuktikan bahawa bersediakah masyarakat untuk meniti arus globalisasi serantau. Mekanisme yang ditawarkan Habermas mungkin mampu untuk mencorakkan paradigma yang lebih ideal ke arah pembangunan bangsa yang berjaya, dalam erti kata lain, keseimbangan di antara kekentalan intelektual dan kepakaran inteligentsia mengangkat martabat sesebuah negara. Mutakhir untuk sesebuah negara itu melihat hubungan siasah antara rakyat dan pemimpin bukanlah sebagai bahasa 'patron-client' tetapi rencam strukturisasi kenegaraan yang mentakwilkan keberagaman masyarakat di arus modenisasi.


No comments: