Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan manakala kuat rasa keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang dijalannya, semangat dalam mereali-sasikannya, dan kesiapan untuk beramal serta berkorban dalam mewujudkannya.
Keempat rukun ini, yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karakter yang melekat pada pemuda. Kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertakwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora dan dasar amal adalah kemauan yang kuat. Hal itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda

(Hasan Al-Banna)

Feb 16, 2010

Hak anda disisi undang-undang (Siri 2)

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

“not guilty until proven guilty because justice is blind”

Terpanggil saya untuk memberi sedikit keterangan mengenai kisah tangkapan saudara Saufi Jelani dari aspek undang-undang. Setiap kali berlaku penangkapan, banyak perkara perlu diperhalusi sama ada sah atau tidak tangkapan tersebut walaupun Orang Kena Tuduh (OKT) sabit di bawah kesalahan di bawah mana-mana kanun keseksaan.

Persoalan sah atau tidak adalah merujuk kepada cara penguat kuasa atau polis sebagai badan induk yang diberi kuasa melaksanakan tugas tersebut. Orang yang kena tangkap juga ada hak, bukannya mengangkat tangan dan ‘selorong’ je berjalan. Tapi dalam situasi tersebut, siapa tak cuak? Baiklah, kita lihat satu-persatu situasi ini :

APAKAH HAK ANDA DENGAN POLIS? DAN APA KUASA POLIS UNTUK MENANGKAP DAN MENAHAN ANDA?

Apakah yang mesti anda buat apabila polis yang berpakaian preman menahan anda?

Apabila polis yang berpakaian preman(pakaian biasa) menahan anda, anda mempunyai hak untuk memintanya supaya menunjukkan kad kuasa polis. Ada 3 jenis kad kuasa polis:

Kalau dia tunjukkan kad berwarna biru : dia berpangkat inspektor dan lebih tinggi lagi
Kalau dia tunjukkan kad berwarna kuning : dia berpangkat rendah daripada inspektor
Kalau dia tunjukkan kad berwarna putih : dia adalah polis simpanan

Setelah memastikan pengenalannya, anda bolehlah memberitahu nama anda, kad pengenalan dan alamat rumah anda. Hal ini sering berlaku dalam situasi anda berjalan seorang diri atau ditahan di mana-mana tempat.

Adakah anda wajib menjawab pertanyaan polis?

Dalam menentukan persoalan sama ada anda wajib atau tidak menjawab pertanyaan yang diajukan oleh polis, adalah penting bagi anda untuk mengetahui sama ada anda ditangkap apabila polis menyoal anda atau anda sekadar ditahan oleh polis untuk membantu mereka membuat siasatan.

Komen penulis : merujuk kepada kes Saufi Jelani yang ditulis di MahasiswaKini “Muhammad Saufi yang ditahan oleh lima anggota polis di bangunan peperiksaan universiti itu” : Ini adalah tindakan polis untuk mendapatkan perintah reman dari mahkamah. Ini bermakna beliau di tahan bukan ditangkap dalam konteks membantu siasatan. Tapi perlukah seramai 5 orang anggota polis?

Bagaimanakah nada mengetahui sama ada anda ditangkap ataupun tidak?

Anda ditangkap bererti anda dilucutkan untuk ke mana-mana sahaja anda suka. Penangkapan berlaku sekiranya:

(a) Apabila pegawai polis menyatakan bahawa dia sedang menangkap individu yang berkenaan. Contohnya polis menjerit kepada peragut yang sedang lari : “Ini polis, berhenti! Kamu ditangkap.”

(b) Apabila dia menggunakan kekuatan untuk menghalang individu yang berkenaan, contohnya polis menggari orang itu.


(c) Apabila melalui perkataan atau perlakuan dia dengan jelas bahawa jika perlu dia akan menggunakan kekerasan untuk menghalang individu daripada pergi ke mana-mana yang disukainya, contohnya polis tidak membenarkan anda meninggalkan tempat itu atau dia membawa anda ke balai polis. Hal ini tidak berlaku jika dia menahan individu untuk bertanya.


Komen penulis : anda boleh rujuk kes Shaaban & Ors lwn Choong Fook Kam & Anor (1969) 2 MLJ 219 ; Lihat juga s 15 Kanun Acara Jenayah (KAJ)

Jika anda tidak pasti sama ada anda ditangkap atau tidak apabila ditahan oleh polis, maka mustahaklah untuk bertanya pegawai polis yang berkenaan sama ada anda ditahan ataupun tidak?

Komen penulis : Persoalannya, boleh ke seorang anggota polis jawab dengan baik?

Jika anda tidak di bawah tahanan polis dan polis menahan anda hanya sekadar untuk bertanya, anda bolehlah memberikan butir-butir diri anda, misalnya nama, no.kad pengenalan, dan alamat rumah anda. Selain itu, anda tidak perlu mengikuti mereka ke balai polis atau ke tempat lain apabila diminta. Biasanya tiada sesiapun wajib membantu polis dengan menjawab pertanyaan mereka. Ia mungkin menjadi kewajipan sosial malah moral untuk berbuat demikian, tetapi tidak ada undang-undang yang mengatakan anda mesti berbuat demikian. Undang-undang hanya menghendaki bahawa apabila polis menahan anda untuk bertanya, sama ada anda tahu atau tidak tentang adanya orang yang melakukan atau sedang berniat untuk melakukan kesalahan Kanun Keseksaan tertentu atau tentang apa-apa kematian mengejut dengan ganas dan tiba-tiba, anda adalah berkewajipan untuk memberikan maklumat itu kepada mereka atau kepada pegawai polis yang bertanggungjawab terhadap balai polis yang terdekat. Jika gagal berbuat demikian anda adalah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah s 176 atau s 202 Kanun Keseksaan / s 12 Kanun Acara Jenayah (KAJ).


Komen penulis : dalam kes Saufi ini, dia telah ditahan oleh pihak polis sementara menunggu tahanan reman dari majistret dan telah di bawa ke balai polis Brickfields, maka wajib untuk dia memberikan maklumat kepada pihak polis sama ada dia tahu atau tidak.

Atau jika anda mengetahui perlakuan tentang kesalahan di bawah Kanun Keseksaan tetapi dengan sengaja memberikan maklumat palsu, anda adalah melakukan suatu kesalahan di bawah s 177 Kanun Keseksaan.

Jika anda tidak ditangkap tetapi polis memberitahu anda bahawa anda menjadi saksi yang berhubung dengan kes rompakan dan mahu supaya anda mengikuti mereka ke balai polis bagi mencatatkan pernyataan saksi (s 112 Kanun Acara Jenayah) daripada anda, jika permintaan itu secara tidak formal, anda bolehlah bekerjasama, jika tempat dan masa sesuai kepada anda, atau anda boleh juga menolak daripada berbuat demikian. Polis tidak boleh menangkap anda kerana gagal mematuhi permintaan itu.

Sebaliknya pula, jika polis merujuk kepada anda suatu perintah bertulis yang ditandatangani oleh pegawai penyiasat yang menghendaki anda supaya pergi ke balai polis bagi mencatatkan pernyataan saksi (s 112 Kanun Keseksaan) daripada anda, maka anda perlulah mematuhi peraturan itu, kecuali perintah itu menghendaki anda berjalan lebih daripada 7 batu dari rumah anda ke balai polis. Walau bagaimanapun, mereka tidak boleh menangkap anda pada masa itu juga jika anda enggan mematuhi perintah itu. Tetapi adalah menjadi suatu kesalahan kerana tidak mematuhi perintah itu di bawah s 174 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahannya, dia boleh dihukum penjara selama suatu tempoh yang tidak melebihi satu bukan atau didenda tidak melebihi RM1000 atau kedua-duanya sekali. Namun demikian, pihak polis boleh melaporkan keengganan anda itu kepada Majistret.

Majistret kemudiannya boleh mengeluarkan waran untuk mendapatkan kehadiran anda di balai polis mengikut s 111 KAJ- diluluskan oleh parlimen pada 2006 dan dikuatkuasakan 7 September 2007.

No comments: