Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan manakala kuat rasa keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang dijalannya, semangat dalam mereali-sasikannya, dan kesiapan untuk beramal serta berkorban dalam mewujudkannya.
Keempat rukun ini, yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karakter yang melekat pada pemuda. Kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertakwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora dan dasar amal adalah kemauan yang kuat. Hal itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda

(Hasan Al-Banna)

May 14, 2009

Amin Ahmad: Krisis Perak,Yang terampas dan terputus

Amin Ahmad

Suka atau tidak, selepas lebih kurang tiga bulan, situasi di negeri Perak Darul Ridzuan kini seakan tiba di penghujung, dan ia tidak mudah. Untuk tempoh tiga bulan, penggemar politik ‘berbalah’ di mana-mana dan ia tidak reda berselang seli kata nista dengan dakwaan “kami yang paling benar”. Ia turut mengundang beberapa beberapa tokoh untuk melontarkan pandangan mereka antara lain Tun Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sebahagian rakyat Perak lelah, tapi ia bukan hujah paling ampuh untuk kerukunan sebuah negara. Ada banyak pengajaran besar dari krisis Perak yang nampak dan tidak. Ia sebuah pelajaran besar sementara demokrasi di Malaysia menuju kematangan dan kematangan politik dibina melalui pergelutan idea, bukan indoktrinasi ‘Politik Matang’ ala ceramah Biro Tata Negara (BTN).

Apa yang boleh kita renung dari krisis besar ini?

1. Lompat Parti

Ramai yang melihat krisis ini sebagai tempelak kepada agenda 16 September yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tarikh peralihan kerajaan Pusat melalui lompat parti sekitar 30 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat (PR) atau mereka menyokong undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Pada satu perspektif, ia benar. Tapi sayang, kita gagal melihat bahawa lompat parti adalah hak yang dijamin Perlembagaan! Maka untuk saya ia bukanlah masalah prinsip dalam sistem demokrasi, hanya moral, itupun boleh didebatkan jika peralihan sokongan ini adalah untuk melawan kezaliman, korupsi dan salah guna kuasa. Apa yang mungkin boleh dicadangkan ialah wujud satu peraturan bahawa jika Yang Berhormat (YB) mahu mengalihkan sokongan, wajarlah mereka meletakkan jawatan dan dibenarkan bertanding semula. Di sana, rakyat diberi mandat untuk mengundi sama ada mereka memang mahukan YB ini sebagai individu atau perjuangan parti.

2. Kuasa Sultan dan Undang-Undang

Tidak nampak timbul pertikaian tentang hak Sultan untuk bersetuju melantik Menteri Besar (MB), cuma yang timbul ialah kuasa memecat MB tatkala ada peruntukan undang-undang khusus tentangnya.

Tentu saja kita telah membaca dan mendengar banyak perbincangan yang objektif tentang pertikaian ini – dari persoalan Akta Interpretasi dan sebagainya. Namun, apa yang harus kita pegang ialah prinsip Kedaulatan Undang-Undang atau biasa disebut Rule of Law (pemerintahan berasaskan undang-undang), dan bukan Rule by Law (diperintah oleh undang-undang).

Sultan tidak harus menjadi undang-undang walau sehebat mana pun latar belakang pendidikan dan kasih sayang serta taat rakyat kepada mereka. Dengan ketinggian akal-budi, Sultan wajar memilih keadilan sebagai landasan prinsip membuat keputusan dan ia bukanlah perkara baru melainkan pengulangan wadat Demang Lebar Daun dengan Raja Sri Tri Buana dalam kisah Bukit Saguntang.

Suka atau tidak krisis di Perak ini mengheret persoalan lanjut tentang seluruh Institusi Diraja dan individu Raja itu sendiri di Malaysia.

3. Persoalan Sultan, Melayu dan Islam

Antara hujah politik yang muncul dari krisis Perak ialah kuasa, ketuanan dan hak Melayu tercabar. Hujah ini bukan baru, malah didendangkan sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 disahkan. Percubaan demi percubaan menjustifikasikan hujah ini berterusan sampai sekarang dan tidak nampak ada tanda ia akan surut. Hujah ini kian kuat bergema apabila keputusan Sultan Azlan menyebelahi UMNO-Barisan Nasional.

Sebenarnya bukan salah Sultan untuk bersetuju bahawa YB Zambery memiliki sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN). Yang menjadi masalah ialah apabila Sultan dijadikan perisai untuk menjustifikasi tindakan membelakangkan undang-undang, dan tentu saja ini yang menjadi perdebatan panjang. Maka, soal Hakim Mahkamah Tinggi “jika YB Zambery yakin mendapat sokongan majoriti, kenapa tidak menggunakan saluran undi tidak percaya di DUN” adalah hujah yang paling ampuh. Di sana timbul persoalan – siapa derhaka bila Sultan dijadikan perisai perlindungan bertujuan politik?

Sultan tidak wajar beranggapan keputusannya sentiasa betul dan adil serta tidak ada apa-apa yang wajar difikirkan lantaran keputusan mereka. Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan simbol ketuanan Melayu-Islam tidak wajar membiarkan maraknya emosi rakyat melalui simbol ini kerana di sebalik nama Islam itu terkandung nilai-nilai yang lebih besar daripada simbol. Inilah asas yang wajar diperhatikan.

Prasangka kaum dan agama tidak wajar diangkat menjadi undang-undang yang membunuh persaudaraan kemanusiaan.

4. Eksekutif dan Legislatif

Pada saya, ini adalah hakikat yang lebih sukar diterima berbanding persoalan YAB Nizar kehilangan majoriti di DUN. Aneh, sedang sidang Dewan belum bermula, tiba-tiba usul muncul dan diterima sebagai peraturan yang wajib dipatuhi sehinggakan campur tangan kuasa eksekutif ke dalam badan legislatif dijustifikasikan rentetan darinya.

Dan lebih celaka apabila ia diambil sebagai kebenaran oleh media massa dan khalayak bebal! Tidakkah mereka punya sedikit rasa malu menjadi tangan-tangan yang menghancurkan sebuah sistem kenegaraan?

5. Majoriti dan minoriti

Ini adalah persoalan besar. Dalam sebuah negara demokrasi yang sihat, sentiasa pentadbiran politik tegak dengan prinsip pemerintahan majoriti dengan penjagaan hak minoriti (majority rules and minority rights). Kegagalan memahami konsep ini menjadikan ahli politik angkuh dan sentiasa merasakan mereka tahu apa yang terbaik dengan alasan “majoriti bersama kami”.

Agak menarik untuk dilihat: apabila lompatan tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ia menjadikan BN majoriti di DUN, tetapi belum tentu mereka beroleh undi popular rakyat. Hal ini sama seperti di peringkat persekutuan: BN menguasai sekitar 51% undi dan PR menguasai 49% undi tetapi perwakilan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat jelas menunjukkan jurang ketara.

6. Pegawai Kerajaan

Ternampak bagaimana pegawai kerajaan sebahagiannya tersepit dan sebahagian lain gagal menjalankan tugas secara professional sepanjang tempoh krisis ini berlaku. Ternyata kita memerlukan perubahan besar-besaran untuk mendidik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar tidak tunduk dengan ahli politik, tidak kira dari parti mana pun mereka apabila ia bersabit hal membelakangkan undang-undang.

Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri wajar mengangkat kepentingan desentralisasi kuasa dan menunjukkan kematangan kerjasama untuk memacu demokrasi yang sihat di negara ini. Dengan adanya kejelasan aspek ini, banyak aspek pengurusan dapat diselesaikan. Permainan politik kuasa tidak selamanya relevan dan menanti masa untuk dihukum.

Dari seluruh krisis yang berlaku di Perak, apakah yang tidak kena? Wajarkah kita pergi kepada sistem Republik dengan Pilihan Raya Presiden serta penubuhan Senat? Tentu saja ini boleh didebatkan.

Benarkah rakyat yang berkuasa dalam sistem kepolitikan negara? Jika tidak, siapa?

Saya hanya ada satu permintaan buat masa ini: bubarkan Dewan Undangan Negeri Perak dan berilah rakyat membuat keputusan mereka. Usahlah dikhuatirkan sangat dengan biaya Pilihan Raya kerana ia juga adalah duit rakyat dan sejak bilakah kita peduli dengan pembaziran dan salah guna wang rakyat?

Amin Ahmad, mendapat pendidikan di Universiti Putra Malaysia. Beliau adalah mantan Naib Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPM dan pernah memegang beberapa jawatan lain di peringkat Kolej, Fakulti Pengajian dan Universiti. Pernah mewakili delegasi Malaysia dalam Program Pembangunan Kepimpinan Belia ASEAN. Alumni Kepimpinan Muda Nahdah Asia, sebuah projek kerjasama Institut Kajian Dasar dan Yayasan Aman Sasakawa (SPF) dan alumni Cato University. Kini merupakan Penyelidik bagi Malaysia Think Tank.

No comments: