Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan manakala kuat rasa keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang dijalannya, semangat dalam mereali-sasikannya, dan kesiapan untuk beramal serta berkorban dalam mewujudkannya.
Keempat rukun ini, yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karakter yang melekat pada pemuda. Kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertakwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora dan dasar amal adalah kemauan yang kuat. Hal itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda

(Hasan Al-Banna)

Jul 23, 2011

Catatan Abun : Ketika Suara Anak Muda Berteriak


Sore ini menjadi suatu kesaksian. Anak muda ini bingkas bangkit bersama ribuan rakyat turun mengisi setiap ruang jalanan ibu kota. Nescaya, 9 Julai bukanlah mitos tentang rusuhan antara kaum tetapi detik penyatuan rakyat di bawah satu bendera. Detik ini sering ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar warganya, bukan kerana sentimen atau faktor individu. Di saat ini, tiada seorangpun yang menjaja autoriti untuk berdiri di pencak ketunggalan. Malah, setiap partisipan yang hadir terpanggil untuk mempamerkan solidariti merasakan bahawa mereka sebahagian daripadanya. Mereka tiba dengan seruan sebuah kata: menuntut hak bagi yang berhak. Kuasa pilihanraya kini dimonopoli yang punya kuasa tetapi kononnya diabsahkan dengan tuntutan kolektif rakyat. Maka benarlah kebodohan itu tidak mengenal kelas dan darjat. Malah, seorang patriaki menonjolkan pemikiran yang lebih bodoh berbanding seorang pengemis yang merempat di kaki-kaki jalanan .





Ternyata, memori yang paling bermakna untuk disingkap dalam catitan adalah berkenaan soal anak muda. Petang itu menjanjikan segalanya. Ada yang tiba dari ceruk-ceruk paling dalam sekitar tanahair, ada pula yang sememangnya datang dari dalam kota. Namun, hasrat orang muda ini punya pengertian yang mendalam. Mereka mahukan keadilan untuk dibicarakan, sebulat suara menolak bentuk korupsi yang semakin bermaharajalela bahkan institusi agama juga dibela atas kepentingan yang punya kuasa. Konon meng'atas nama' kan agama, tiada yang lebih sahih dari tindakan sang pemerintah menghapuskan suara-suara kelam mengangkat kebebasan.



Suara anak muda ini menghimbau balik kenangan seorang sosok yang pernah wujud di bumi Indonesia. Mungkin, ramai yang mengenali Gie atau Soe Hok Gie di dalam acara menentang kebobrokan rejim Soekarno. Anak muda ini tidak mengenal rasa 'takut' atau gentar kepada 'kematian'. Kerana baginya, kematian itu pasti tetapi biarlah ia datang dalam keadaan yang terhormat. Kendatipun, Ajal itu tiba pada waktu yang paling singkat, biarlah pemergian seorang pemuda itu dirasakan masyarakatnya. Atas pedoman inilah, Gie mula teriak menghembus dan meniup api-api kegusaran terhadap para patriaki. Maka, Gie mula menggerakkan protes-protes massa dan menghasut pemuda-pemuda untuk peka akan sial pemerintah ini. Manakan tidak, hasil bumi dan hak seorang rakyat makin lama makin dijauhkan,dinafikan malah dalam bahasa lebih keras lagi, rejim ini mula menekan rakyat. Nasib si miskin tidak terbela, yang kaya bertambah kaya, yang fakir semakin hina. Ironinya, bingkas para pemuda ini bangun, atas nama solidariti bersama rakyat, mereka kental untuk tidak berpihak kepada yang zalim, biarlah menitiskan darah sekalipun tetapi yang berhak harus mendapat haknya. Itulah unggulnya Gie. Di dalam 'Catatan sang Demonstran', Gie menghuraikan polemik pemikirannya, bagaimana anak muda ini sering runsing akan tindakan patriaki membodohkan rakyat. Sering sahaja mereka dengan mudah dimomokkan dengan label yang meng'ancam' kepentingan mereka lantas anasir ini bahaya untuk keselamatan negara.



Tetapi, perkara yang makin membingungkan Gie adalah apabila segala rencam penindasan dan kritik terhadap pemerintah itu dipadamkan dari kitab-kitab perundangan. Lalu, memberikan ketunggalan kebenaran hanyalah di pihak mereka sahaja. Gie akhirnya sedar, bangsanya kini dibodohkan. Waima, diterapkan pula nilai “ Kera di hutan disusukan, Anak di rumah mati kelaparan”,perlunya seorang rakyat itu menjaga elit pemerintah pada masa yang sama, hak mereka menerima pembangunan dinafikan. Cuma yang punya kekuatan despotik dan nespotik sahaja yang bisa beruntung. Aduhai malangnya nasib seorang hamba rakyat, sudahlah ditipu kini dipijak. Mungkin Gie perlu mengejutkan bangsanya yang nyenyak tidur. Itu sahaja harapan anak muda ini melihat bangsanya terus mekar dimamah usia. Sekitar tahun 1965, tatkala rejim ini mula goyah, Gie berjaya menyebarkan kesedaran di kalagan pemuda. Dia berjaya mengaturkan beberapa siri protes massa yang akhirnya membawa kepada keruntuhan tembok pimpinan Soekarno berikutan Gestapo dan rampasan kuasa Jenderal Soeharto. Maka, bermulalah visi Orde baru di bumi Indonesia. Tetapi sayang, anak muda ini mati muda. Jiwanya diragut di tengah-tengah acara perlawanan rakyat menentang penindasan. Pemergiannya cukup memberikan impak dan motivasi untuk anak-anak muda yang lain terus pragmatis memperjuangkan nasib bangsa mereka. 

Catitan 'Seorang filsuf Yunani pernah menulis ... nasib terbaik adalah tidak dilahirkan, yang kedua dilahirkan tapi mati muda, dan yang tersial adalah umur tua. Rasa-rasanya memang begitu. Bahagialah mereka yang mati muda." tentu sahaja akan membibitkan rasa-rasa peringatan tentang wira agung ini. Bahagialah seorang pemuda itu mati di dalam keadaan disambut dengan seribu penghormatan bangsanya.





Fenomena Gie tidaklah tamat di situ sahaja. Detik-detik reformasi 1998 pastinya tidak akan melupakan kita tentang peristiwa Trisakti dimana tiga pejuang syahid menentang kezaliman Soeharto. Pasca kejadian itulah, tumbangnya rejim Orba atau Orde Baru yang rata-ratanya diprakasai anak-anak Indonesia. Malah, gerakan menumbangkan kezaliman pemerintahan Jenderal Soeharto ini dimulainya oleh anak-anak mahasiswa Indonesia. Mereka bersatu hanya untuk menyeru ke arah kebebasan dan keadilan. Itulah sebenarnya kekuatan semangat demokrasi yang ada dalam diri seorang pemuda. Idealisme pancasila juga bermula dengan semangat 'Beri saya sepuloh orang pemuda, nescaya saya bakal menggegarkan dunia' yang menjadi asas kepada kenegaraan Indonesia. Malah, etika 'Sumpah Pemuda Indonesia' acap kali menjadi garapan untuk membina asas perjuangan anak muda yang paling esensial. Ya, mungkin semangat ideal anak muda itu melangkaui batas-batas realiti berkenaan politik kekuasaan dan garisan sosial tetapi apakah kejayaan reformasi menjatuhkan Orde baru ini lebih tuntas tanpa kekuatan seorang pemuda? Sudah tentu ianya akan gagal sekiranya majoriti anak muda itu terus diperhambatkan dengan kelekaan dan khayalan di dalam dunia mereka sendiri.



Kembali kepada suasana petang itu, ramainya yang hadir sudah memberikan pembuktian bahawa jiwa 'Malaysia' ini tidak lagi terikat dengan pengkelasan etnik. Rata-rata yang muda di hari itu berhimpun tanpa mempunyai kecenderungan kaum. Mereka turun kerana hasrat mereka menjadikan negara masih percaya kepada semangat sebenar demokrasi. Kata-kata pembebasan yang dilaungkan bukan gaya permainan retorik tetapi anak muda ini memaknai kata-kata mereka dengan bersolidariti dengan cara terhormat mengimpikan bumi ini diwarnai dengan corak-corak pentadbiran yang berteluskan semangat 'Liberte, Egalite,Frateinite'.



Suatu 'magnificia ironi' yang mendekatkan politik kekuasaan dengan garisan praktikaliti idealisme pemuda yang mendokong erti kata 'Magna Carta'. Maka, suara anak muda ini berteriak lagi bukan untuk membudayakan kezaliman dan tirani kuasa autoriti tetapi berteriak demi meneruskan legasi berteraskan kebersamaan semangat demokrasi yang ulung di bumi sendiri. Lantas, itulah agungnya 'ketika suara anak muda berteriak'.

No comments: