Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan manakala kuat rasa keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang dijalannya, semangat dalam mereali-sasikannya, dan kesiapan untuk beramal serta berkorban dalam mewujudkannya.
Keempat rukun ini, yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karakter yang melekat pada pemuda. Kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertakwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora dan dasar amal adalah kemauan yang kuat. Hal itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda

(Hasan Al-Banna)

Feb 16, 2010

Soal Jawab: Zambry terus agenda makmurkan rakyat Perak

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Mohd Feroz Abu Bakar




MB tak termakan sandiwara pembangkang, tetap gigih merencanakan pembangunan

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan mengesahkan jawatan Menteri Besar Perak milik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membuka lembaran baru senario politik Perak. Keputusan itu mengukuhkan kedudukan dan reputasi Barisan Nasional (BN) Perak dan mengendurkan asakan bertalu-talu pakatan pembangkang yang selama ini mempertikaikan kesahihan pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar ke-11 negeri itu oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Ikuti temubual wartawan Berita Minggu, Jalal Ali Abdul Rahim dan Mohd Feroz Abu Bakar bersama Zambry mengenai isu ini.

TAHNIAH kepada Datuk Seri di atas keputusan Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada Barisan Nasional (BN). Apakah yang terdetik di hati pada saat keputusan gembira itu sampai ke telinga Datuk Seri.


Pertama (sebaik mengetahui keputusan) saya mengangkat syukur kepada Allah kerana doa saya dan rakyat jelata dimakbulkan kerana selama ini saya berasakan biarlah kebenaran dan keadilan terzahir dan dibuktikan di mahkamah. Perasaan saya bukan mengatakan saya paling seronok di dunia tetapi berasa akan keinsafan saya dan lebih kerdil untuk saya melaksanakan tugas ini dengan sebaik-baiknya kerana ia amanah yang perlu dipikul.

Datuk Seri Mohammad Nizar mahupun pemimpin pakatan pembangkang yang kecewa dengan keputusan mahkamah menegaskan agenda 'mahkamah rakyat' adalah penentu siapa sebenarnya disokong rakyat. Mereka juga mengatakan kedudukan Datuk Seri masih goyah kerana mengharapkan sokongan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas yang menyokong BN. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?


Kalau bukan kenyataan seperti itu, maka ia bukan sifat mereka. Kita tahu selama ini pun pelbagai cara dan kenyataan fitnah, maki hamun kepada saya dibuat dan ini memang sudah jadi makanan serta minuman tonik Tongkat Ali atau kopi jantan mereka, sudah jadi kebiasaan mereka.

Bagi saya, apabila mereka menyebut 'mahkamah rakyat' dan 'Zambry adalah mahkamah', saya nak tegaskan siapa yang memulakan semua ini. Bukan kita tetapi merekalah yang membawa atau mencabar perkara ini ke mahkamah dan kemudian mencabar pula kedudukan institusi mahkamah. Soal goyah atau tak (kerajaan BN Perak) biarlah proses yang menentukan. Mereka pun tahu selama ini mereka mengandaikan bermacam-macam, mereka membohongi rakyat dalam ceramah mereka.

Selepas (BN) ambil alih pentadbiran, dalam tempoh dua bulan mereka kata semua perlu bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya baru kerana kerajaan BN Perak semakin goyang, mereka berceramah di merata-rata. Lepas tiga bulan, lepas enam bulan pun sama keadaannya dan terbaru kita dengar mereka minta turun ke bawah dan kata siap untuk hadapi pilihan raya dan mengatakan kemenangan akan berpihak kepada mereka. Inilah cara mereka yang sentiasa membohongi rakyat melalui ceramah.

Kita tak buat begitu, saya tidak suka memaki hamun, pendekatan saya tidak suka membohongi rakyat di pentas ceramah atau di mana-mana saja kerana saya tidak mahu melakukan perkara yang saya fikir seolah-olah mereka bercakap soal moral, tetapi masa sama melakukan perkara tidak bermoral. Apa yang paling penting kita berkerja bersama rakyat dan membuat yang terbaik untuk rakyat.

Selepas keputusan mahkamah diumumkan, Mohammad Nizar mengaitkannya dengan 'monarki mutlak' sehingga ada yang melihat tindakan itu satu penghinaan kepada Sultan Perak. Adakah BN akan mengambil tindakan tertentu seperti tindakan mahkamah?

Penghinaan terhadap Sultan sudah menjadi asam garam mereka. Kita tak fikirkan soal ini (tindakan), kita tengoklah sejauh mana mereka akan pergi. Hari ini pun saya difahamkan, seolah-olah dia (Mohammad Nizar) menafikannya pulak. Jadi ceritanya seperti cuaca (tidak menentu) dan politik chipsmore (sekejap ada sekejap tiada). Mereka sepatutnya mempunyai satu prinsip iaitu soal atau perkara yang sudah diinstitusikan atau yang menjadi satu simbol kepada rakyat, negeri dan negara, tak sepatutnya diperlekehkan sebegitu. Saya minta kepada mereka supaya menjadi manusia yang lunak dan sebagai rakyat yang hidup dalam budaya yang ada jati diri supaya tahu menghormati institusi itu.

Di sebalik rasa kecewa, pembangkang membuat kenyataan memperlihatkan sikap 'kendur' mereka seperti mengumumkan desakan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan lagi agenda mereka. Mereka mahu menjadi pembangkang yang efektif dan mengakui sedia bekerjasama dengan BN tetapi meletakkan pula beberapa syarat. Apakah permainan politik pembangkang kali ini di mata Datuk Seri?


Biasalah, ini sebahagian daripada permainan dan strategi politik mereka. Mereka tahu sikap bengis selama ini tidak mendapat dokongan, malah seorang bekas Exco mereka pernah sebut pendekatan mereka selama ini seperti duduk di bawah pokok, pendekatan bengis dan garang, maki hamun dan berdemonstrasi tidak baik kerana tahu pendekatan itu dibenci rakyat. Rakyat sudah melihat belang mereka sebab itu mereka mengubah sedikit pendekatan yang agak lunak, tetapi nak lunaknya, hendak ikat pula kita (dengan syarat).

Kita tahu dalam bentuk demokrasi, ada pembangkang dan penyokong kerajaan dan bagaimana kedua-duanya dapat memainkan peranan masing-masing dengan cara terbaik, bukan meletakkan syarat itu dan ini. Apa yang lebih penting adalah kita bantu rakyat, tetapi jika beri pelbagai syarat, itu bukan bentuk kerjasama namanya.

Lagipun, biasanya syarat ini diberikan orang yang menang kepada orang kalah, ini orang kalah pula beri syarat kepada orang menang.

Hari ini (bekas Exco kanan, Datuk) Ngeh (Koo Ham) kata kepada saya kononnya saya tak adil kerana tidak mahu beri peruntukan kepada mereka. Saya nak tanya, mereka ada beri peruntukan kepada BN? Waktu kerajaan BN memerintah dan ketika itu saya menjadi Exco, dia (Ngeh) tahu bagaimana saya membantu dia di kawasannya, waktu itu dia jadi pembangkang, tetapi zaman dia (mentadbir Perak) dia tidak pernah langsung (bantu), jadi tak usah cakaplah soal keadilan dan tak sanggup untuk bekerjasama jika kita (BN) tak beri peruntukan.

Bagi saya soal kerjasama, kita sentiasa boleh bekerjasama. Saya tidak ada dendam kesumat seperti mereka, sebelum ini pun saya bekerjasama dengan semua, saya berlapang dada dan senyum pada semua orang.

Datuk Seri pernah berkata tidak pernah membina tembok pemisah dengan pembangkang, sebaliknya merekalah yang membina 'Tembok Besar China' dalam konteks kerjasama dengan BN serta memberi tentangan dan 'hentakan' kepada pentadbiran BN Perak. Apa pesanan kepada pembangkang? Apakah BN juga mahu meletakkan syarat kepada pembangkang?


Saya tidak ada syarat nak diberikan kepada mereka, cuma (berharap) mereka perlu menjadi ahli politik yang baik, tidak bengis dan berhemah, kena jaga mulut, jaga tingkah laku, jangan bersifat keterlaluan dalam berpolitik dan memiliki ciri bagaimana kita menyantuni rakyat dan sesama kita (kerajaan dan pembangkang).

Mereka tahu saya, pendekatan saya dan sikap saya dengan mereka bahawa saya tidak pernah membenci mereka atau menolak mereka jatuh ke gaung.

Akhir sekali, apakah janji Datuk Seri kepada rakyat Perak yang menaruh harapan menggunung tinggi agar kebajikan dan kemakmuran mereka dan negeri lebih subur pada masa depan?


Saya akan meneruskan agenda yang sudah kita atur untuk kepentingan rakyat. Menyediakan ukuran untuk memberi perkhidmatan terbaik. Saya akan berusaha bersama rakan sebagai satu pasukan, sama ada pada peringkat pemimpin pentadbiran negeri dan ahli politik untuk melaksanakan agenda dan memberikan yang terbaik kepada rakyat, itulah usaha dan doa saya.

No comments: