Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan manakala kuat rasa keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang dijalannya, semangat dalam mereali-sasikannya, dan kesiapan untuk beramal serta berkorban dalam mewujudkannya.
Keempat rukun ini, yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karakter yang melekat pada pemuda. Kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertakwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora dan dasar amal adalah kemauan yang kuat. Hal itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda

(Hasan Al-Banna)

Jan 25, 2010

Dimanakah Idealisme perjuangan Mahasiswa?


Universiti adalah merupakan sebuah institusi yang bertanggungjawab untuk melahirkan ramai tokoh masyarakat pada zaman mendatang. Tidak ketinggalan, ia juga diibaratkan seperti kilang yang akan melahirkan generasi pemimpin bertamadun yang bakal menentukan corak dan hala tuju masyarakat dan negara. Namun, masih terdapat kekeliruan tentang apakah sebenarnya fungsi sebuah universiti. Apakah sekadar melahirkan professional yang hanya mengejar pekerjaan? Atau hanya melahirkan graduan yang ingkar upaya dan pentingkan diri untuk bersama masyarakat? Atau hanya melahirkan generasi cerdik pandai tetapi mungkir pada bakti?


Menurut Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, bagi menjamin kemakmuran dan kemajuan negara, kita perlu banyak melabur dalam pendidikan insan. Pembangunan negara yang terbaik bagi sesuatu bangsa bukan hanya banyak melahirkan graduan universiti, tetapi kualiti insan yang dilahirkan oleh universiti. Kualiti itu terbit bila mana mahasiswa berpegang kepada suatu prinsip dan idealisme yang fundamental dalam setiap kegiatan.

Namun, persoalannya, sejauh manakah kemampuan mahasiswa itu sendiri untuk bersedia menggarap idealisme perjuangan yang benar-benar tulen untuk menjadi penyumbang utama kepada pembangunan agama, bangsa dan negara nanti? Setelah berakhirnya era 70-an, idealisme perjuangan mahasiswa dilihat semakin pudar dan akhirnya lenyap tanpa meninggalkan sebarang tanda.

Dalam hal ini Dr. Wan Abdul Rahman Wan Muda dari Universiti Sains Malaysia pernah menjelaskan dalam satu forum yang bertajuk “Masyarakat Kampus Dan Permasalahannya” pada 4 Ogos 1990. Menurut beliau, “Semenjak 1976, ternampaklah bibit-bibit kelumpuhan budaya universiti yang sebelum ini mempunyai semacam solidariti idealisme dalam aktiviti-aktiviti mahasiswa.”

Hidup di zaman mahasiswa ibarat hidup di persimpangan di antara idealis dan realis. Suatu ketika dahulu, idealisme mahasiswa dibentuk dengan menjadikan hak dan kebenaran sebagai tunjang asas. Politik yang didokong oleh mahasiswa pula berbentuk politik bukan kepartian atau non-partisan tanpa mewujudkan sebarang blog yang boleh memecahbelahkan gerakan mahasiswa. Sebaliknya mereka berpegang kepada konsep "Independant political force" dengan impian untuk mengangkat martabat perjuangan mahasiswa setaraf dengan parti politik.
Mahasiswa telah berperanan sebagai mata kepada masyarakat dengan menyaksikan susah senang kehidupan masyarakat di luar kampus. Mahasiswa juga telah menjadi telinga masyarakat dengan mendengar segala keluh kesah masyarakat. Dalam masa yang sama, mahasiswa juga menjadi lidah kepada masyarakat sebagai gerakan pembela yang akhirnya menjadi suara ketiga terkuat selepas parti pemerintah dan pembangkang. Maka tidak hairanlah mengapa mahasiswa dahulunya begitu disanjung sehingga dianggap sebagai suara hati masyarakat luar.

Setelah sekian lama masa berlalu, kita masih lagi hidup dalam suasana kampus yang begitu lesu dan berkecamuk. Laporan dari Institut Integriti Malaysia (IIM), yang dibuat berdasarkan persepsi umum,31% mahasiswa cenderung untuk mengambil rasuah jika memiliki kuasa dan peluang. Ini menunjukkan betapa rendahnya idealisme dan kesedaran integriti mahasiswa. Di samping itu, krisis adab dan moral golongan mahasiswa yang dibanjiri idola yang salah juga menunjukkan martabat mahasiswa berada di landasan yang cukup memalukan.

Ini disebabkan beberapa faktor dan nilai negatif yang mencengkam mahasiswa. Antaranya, adalah nilai individualistik dan materialistik yang samakin merata dan menebal di kalangan pelajar, budaya takut atau ‘culture of fear’ yang telah menghantui mahasiswa yang akhirnya menyebabkan mahasiswa terus takut untuk mencuba, menyoal, mengkritik dan mengemukakan idea serta gagasan baru kepada masyarakat.

Sementara itu, sebab-sebab lain adalah hilangnya minat mahasiswa untuk menghayati dan menganalisa keadaan politik, ekonomi, dan sosial tempatan mahupun antarabangsa, serta tidak ada lagi slogan ‘Mahasiswa Jurubicara Masyarakat’ kerana kebanyakan mereka sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Perubahan sememangnya diperlukan. Hidup di zaman mahasiswa seharusnya dipergunakan untuk mengambil kesempatan yang ada dengan menjadikannya sebagai medan untuk menimba sebanyak mungkin ilmu, idea, dan pengalaman. Mahasiswa memiliki amanah, tugas, serta tanggungjawab yang harus ditunaikan kepada pembangunan masyarakat dan negara bagi melatih daya kepimpinan, membentuk sahsiah diri serta mencetuskan kepelbagaian idea dalam menangani pelbagai permasalahan semasa.

Namun, sekiranya tiada perubahan, kita akan terus tenggelam dalam arus dunia kini. Kesannya, mahasiswa akan hilang keyakinan diri, malu untuk berhadapan dengan masyarakat, tidak lagi bangga untuk menampilkan diri sebagai seorang mahasiswa, takut untuk berhadapan dengan cabaran, tidak malu untuk terlibat dengan pelbagai penyelewengan, serta tercari-cari matlamat hidup mereka yang sebenar.

Fenomena seperti ini bukan sahaja berlaku pada zaman mereka menjadi mahasiswa, tetapi akan terbawa-bawa ke alam pekerjaan. Maka tidak hairanlah mengapa ramai kelompok yang mengisi sektor pekerjaan pada hari ini belum bersedia dan tidak bersungguh-sungguh untuk berhadapan dengan tanggungjawab yang lebih besar, takut untuk menghadapi cabaran kerana khuatir akan risiko yang bakal dihadapi, mudah mengalami tekanan perasaan ekoran hilangnya motivasi diri, dan sebagainya., banyak terlibat dengan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan sebagainya. Pada hal mereka juga dahulunya pernah menjadi mahasiswa.

Bayangkan apa yang akan terjadi kepada negara dalam jangka masa 10 atau 20 tahun akan datang sekiranya generasi mahasiswa kini masih di takuk lama dengan meneruskan tradisi kelesuan generasi-generasi mahasiswa sebelum ini?

-Faizal Aziz-

No comments: