“Nampaknya tiada siapa pun yang belajar daripada tragedi itu (Highland Towers).”
Itulah reaksi bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam apabila diberitahu mengenai kejadian tanah runtuh yang mengorbankan empat nyawa di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah di Bukit Antarabangsa di sini semalam.
“Sudah bertahun-tahun tragedi itu berlalu dan hari ini insiden seperti itu berlaku lagi, (juga) mengakibatkan kematian,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Amsterdam.
Anak lelaki Musa, Rashid Carlos dan isterinya Rozita, adalah antara 48 orang yang terkorban apabila sebuah daripada tiga blok kondominium Highland Towers di Taman Hillview, terletak 1.5 kilometer dari tempat kejadian tanah runtuh pada Sabtu, runtuh pada 11 Disember 1993.
MEMORI PILU
“Ia satu memori yang amat tidak menyenangkan, sungguh memilukan. Saya sendiri yang mengalaminya. Harapan ialah agar siapa jua yang bersalah mesti menerima hukuman,” kata Musa.
Tragedi Highland Towers mengejutkan seluruh negara memandangkan kejadian seumpama itu julung kali berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka.
Bagaimanapun kisah yang menyayat hati itu tidak berakhir di situ sahaja kerana terdapat beberapa lagi insiden berkaitan tanah runtuh yang berlaku di kawasan berkenaan, malah ada di antaranya mengakibatkan kematian.
Satu insiden yang sangat ketara berlaku pada 4.35 pagi, 20 November 2002 apabila tanah runtuh meranapkan banglo dua tingkat milik Pengerusi Affin Bank Bhd Jen (B) Tan Sri Ismail Omar.
Isteri beliau, Puan Sri Azizah Abdul Aziz, anak lelakinya Hijaz, dua menantu dan dua cucu serta dua pembantu rumah warga Indonesia terkorban apabila banglo berkenaan ditimpa tanah runtuh.
Banglo bekas pegawai tentera itu terletak kirakira 300 meter dari Highland Towers.
PIHAK BERKUASA
Dalam pada itu, pihak berkuasa perlu bersedia untuk mengambil langkahlangkah pemulihan memandangkan lebih banyak kejadian tanah runtuh dijangka berlaku semasa musim hujan sekarang, demikian amaran daripada seorang aktivis alam sekitar terkenal, hari ini.
Pengerusi Pusat bagi Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan Malaysia Gurmit Singh memberitahu, kejadian tanah runtuh itu biasa berlaku di Malaysia dan kebanyakannya boleh dielakkan jika para profesional, pemaju perumahan dan kakitangan awam lebih bertanggungjawab menjalankan tugas mereka dengan tekun dan amanah.
Gurmit berkata, kerajaan telah memutuskan untuk tidak meluluskan pembangunan di kawasan tanah tinggi selepas kejadian Highland Towers.
Beliau berkata, jika semua pihak yang terbabit dalam pembangunan termasuk pihak berkuasa yang memberi kelulusan, para jurutera, arkitek, juru ukur dan pemaju perumahan tidak mengambil serius akan tanggungjawab mereka, kejadian seperti itu akan terus berlaku.
Sementara itu, Presiden persatuan Pemilik Rumah Bukit Bandaraya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, kawasan Damansara juga terdedah dengan kejadian tanah runtuh.
Katanya, insiden terbaru berlaku semalam apabila dinding konkrit setinggi 21 meter di belakang bangunan CIMB di Damansara runtuh berikutan tanah runtuh yang menimbus 11 kenderaan di kawasan tempat letak kereta.
Abdul Aziz, seorang peguam dan bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines berkata, persatuannya telah memaklumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengenai air tirisan di kawasan itu tetapi tidada langkah segera diambil.
PETUGAS KHAS
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) mencadangkan agar sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi mengkaji sebab-sebab berlakunya bencana itu.
“Usaha juga perlu bagi mengenal pasti pihak yang tertanggjungjawab hingga berlakunya bencana itu.
“Kini, segala usaha mesti ditumpukan kepada membantu menyelamatkan mereka yang terperangkap dan melayani keluarga yang kehilangan orang yang disayangi,” kata Presiden Rehda, Datuk Ng Seing Liong dalam satu kenyataan hari ini.
Ng berkata, Rehda akan membantu dengan apa cara yang mungkin.
Beliau berkata, Rehda telah pun menghantar pasukan bantuan dan kelengkapan untuk kerja-kerja menyelamat.
Credit to -Mat Saman Kati
No comments:
Post a Comment