Ibu pengsan selepas rayu Dilla pulang
TAPAH 6 Julai - Seorang ibu yang terlalu tertekan dan rindukan anak tunggalnya yang hilang sejak enam hari lalu, pengsan di hadapan sekumpulan wartawan di rumahnya di Taman Bunga Raya di sini hari ini.
Sebelum itu, Latifah Mohd. Sabri, 48, merayu-rayu sambil menangis meminta anaknya, Nur Fazilah Mohd. Yusof, 16, atau Dilla agar pulang segera ke rumah kerana terlalu bimbang dengan keselamatan anaknya itu.
''Dilla baliklah, mak rindu. Kalau sayangkan mak baliklah nak. Mak tak marah, hari-hari mak tengok baju dan gambar Dilla.
''Dilla sayang mak kan, kalau mak salah mak minta ampun tapi kalau jadi sesuatu jangan menyesal," rayu Latifah.
Selepas itu, dia terus tidak sedarkan diri dan kumpulan wartawan yang sedang menemubualnya terpaku seketika dengan keadaan itu.
Malah kejadian berkenaan menyebabkan suaminya, Mohd. Yusof Mohd. Ibrahim, 50, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan yang melawat keluarga mangsa menjadi panik seketika.
Bagaimanapun, Latifah sedar semula tidak lama kemudian setelah mukanya disapu dengan air oleh beberapa orang ahli keluarganya.
Sementara itu, Mohd. Yusof berkata, isterinya memang kerap pengsan sejak Dilla menghilangkan diri kerana terlalu tertekan.
Katanya, sehingga kini Dilla masih gagal dihubungi walaupun berita mengenai kehilangannya itu sudah disiarkan Mingguan Malaysia kelmarin.
Menurutnya, Dilla dipercayai keluar meninggalkan rumah kerana merajuk setelah dimarahi ibunya pada kira-kira pukul 7.30 pagi, Rabu lalu.
''Puncanya hanya kecil, Dilla tidak mahu ke sekolah kerana mengadu sakit perut dan isteri saya memarahinya menyebabkan hati Dilla terguris.
''Bagaimanapun, itu hanyalah marah sayang emak terhadap Dilla. Tidak ada niat lain kecuali untuk kebaikan Dilla juga," katanya yang berasa cukup terseksa dan menderita sejak kehilangan Dilla, pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Buyong Adil di sini.
Dilla hilang setelah menghadiri kelas tambahan dan latihan hoki di sekolah dan tidak pulang terus ke rumah selepas itu.
Dia dipercayai mengikut seorang lelaki yang dikenali sebagai Hadi malah rakan-rakannya memberitahu Dilla dilihat bersama lelaki itu menaiki bas ke Cameron Highlands.
Dalam pada itu, Samsudin berkata, pihaknya berharap orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Dilla segera menghubungi Pusat Khidmat DUN Ayer Kuning di talian 05-4018002.
Jelas beliau, kes seperti itu telah berlaku dua kali sebelum ini dan kedua-dua mangsa yang hilang ditemui dalam keadaan tragis iaitu mati dibunuh oleh lelaki yang melarikan anak gadis terbabit.
Betapa besarnya pengorbanan mereka..betapa cinta mereka kepada kita,tapi jika dimarah walaupun sedikit kenapa perlu kita marah sedemikian rupa??Kenapa perlu lari bersama pasangan yang belum tentu dapat menjamin apa2 kepada kita??Ingat,SYURGA TERLETAK DIBAWAH TELAPAK KAKI IBU!!Ingat wahai anak2 sekalian..Baca nukilan dibawah..
Renungkan:
No comments:
Post a Comment