Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan manakala kuat rasa keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang dijalannya, semangat dalam mereali-sasikannya, dan kesiapan untuk beramal serta berkorban dalam mewujudkannya.
Keempat rukun ini, yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karakter yang melekat pada pemuda. Kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertakwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora dan dasar amal adalah kemauan yang kuat. Hal itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda

(Hasan Al-Banna)

Jun 29, 2009

Bangkit semula!!

Muhammadz

Saya baru saja habis membaca sebuah majalah berbahasa Inggeris yang sering mengetengahkan kisah-kisah kehidupan yang memberi sumber inspirasi. Isu fokus yang diutarakan dalam edisi terbaru majalah tersebut cukup menarik; Bangkit Semula!


Semua orang pernah mengalami kegagalan dan/atau kejatuhan dalam perjalanan kehidupan. Biar setinggi mana pun kedudukan seseorang itu dan sesempurna mana pun kehidupannya (walau tidak ada yang sempurna), pasti seseorang itu pernah merasai detik-detik yang pahit walaupun sedikit. Penulis J.K Rowling berkata "Kita tidak mungkin akan benar-benar mengenali diri kita dan kekuatan perhubungan kita, sehinggalah kedua-duanya diuji dengan kesukaran."

Ramai orang apabila pertama kali merasai kegagalan terus saja ingin membuangnya jauh-jauh. Tidak kira apa jua bentuk kegagalan yang mereka hadapi, sebenarnya dalam kepahitan yang mengiringi setiap kesukaran itu ada pengajaran berharga yang amat berguna. Jika difikir sedalam-dalamnya, kepahitan itu adalah peluang keemasan yang manis! Sebenarnya kunci yang mengawal diri untuk melihat pahit itu sebagai manis adalah minda. Minda bertindakbalas apabila menghadapi kegagalan, dan boleh diprogramkan semula untuk mencipta kejayaan.

Minda orang yang berjaya memandang apa saja kegagalan yang dihadapi sebagai satu peluang, bukan sebagai satu kesakitan yang akan memadam segalanya. Apabila dicabar, minda akan segera menilai, membaiki dan mencuba semula. Minda akan menjadi lebih fokus apabila mendepani sebarang kesukaran lantaran cuba mengenalpasti apakah kesilapan-kesilapan yang telah berlaku. Minda yang positif akan belajar dari setiap kesilapan dan terus berkembang lantas membibitkan peluang-peluang yang jarang sekali terjangkau dalam pemikiran normal.

Jika direnung kembali, Allah swt telah memberitahu hamba-hambaNya berkenaan perkara ini dalam Surah Al-insyirah ayat 5-6:

"Dan sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya selepas kesulitan itu ada kemudahan."

Cukup jelas lagi nyata mesej yang terkandung dalam ayat di atas. Malah ditegaskan sebanyak dua kali. Kalam suci ini mengingatkan kita bahawa setiap kesukaran, kedukaan, kepahitan, kegagalan, kesulitan yang dihadapi, pasti ada sinar dihujungnya. Cuma terpulang kepada diri dan minda kita untuk menilai dan menganjakkan paradigma ke tingkat yang sewajarnya.


No comments: