Sesungguhnya sebuah pemikiran itu akan berhasil diwujudkan manakala kuat rasa keyakinan kepadanya, ikhlas dalam berjuang dijalannya, semangat dalam mereali-sasikannya, dan kesiapan untuk beramal serta berkorban dalam mewujudkannya.
Keempat rukun ini, yakni iman, ikhlas, semangat dan amal merupakan karakter yang melekat pada pemuda. Kerana sesungguhnya dasar keimanan itu adalah nurani yang menyala, dasar keikhlasan adalah hati yang bertakwa, dasar semangat adalah perasaan yang menggelora dan dasar amal adalah kemauan yang kuat. Hal itu semua tidak terdapat kecuali pada diri para pemuda

(Hasan Al-Banna)

Apr 1, 2009

Cerita dari Selangor (berita yang disekat MEDIA ARUS PROPAGANDA BarisanNajib)

Elak Tindakan Mahkamah : Selangor Syor Adakan Perjumpaan

SHAH ALAM, 31 Mac - Kerajaan negeri tidak menolak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya tarif air di Selangor tetap dinaikkan.

Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebelum itu kerajaan negeri bercadang agar satu perjumpaan di antara wakil kerajaan negeri, kerajaan persekutuan dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) diadakan.

“Daripada hasil perjumpaan itu barulah dapat kita tentukan sama ada sesuai atau tidak harga air dinaikkan. Jadi kerajaan negeri mencadangkan perkara-perkara ini, yang sebaik-baiknya boleh dilakukan.

“Kalau ini masih lagi tidak dilakukan, kerajaan negeri akan mengambil langkah terakhir iaitu membawa hal ini ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Bulan Dakwah Negeri Selangor 1430H/2009M di Auditorium MBSA dekat sini tengah hari tadi.

Abdul Khalid berkata beberapa peringkat dalam memastikan usaha penyusunan semula industri air telah dilakukan termasuk mengesyorkan kepada kerajaan persekutuan meneruskan penyusunan semula mengikut cadangan yang pernah diberikan Selangor sebelum ini.

Katanya, menerusi cadangan itu tarif air tidak akan dinaikkan dan rakyat Selangor akan terus menikmati pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memberi pilihan untuk mengadakan satu perbincangan bagi mengurangkan air terbuang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Katanya melalui pengurangan itu, kos air akan turut berkurangan.

Tambahnya, pengurusan syarikat konsesi Syabas itu juga didapati tidak memenuhi beberapa syarat dalam perjanjian seperti yang dilaporkan Audit Negara.

“Jika kerajaan persekutuan masih lagi memikirkan untuk menaikkan tarif air, kita mengingatkan kepada kerajaan persekutuan iaitu Syabas mengikut pandangan kerajaan negeri tidak menunaikan janji-janjinya seperti dalam perjanjian.

“Antaranya perkara-perkara ini telah jelas sebab komen dari Audit Negara menunjukkan Syabas tidak mengikut tatacara umpamanya untuk pemberian kontrak yang sepatutnya dilakukan secara tender tetapi tidak dilakukan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan kenaikan tarif air ditangguh sehingga akhir tahun ini bagi menyelesaikan masalah penstrukturan semula air di negeri ini.

Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor dilaporkan beberapa media hari ini akan membawa isu penstrukturan semula industri air itu ke kabinet esok. - NOOR ALLIA KASSIM



Kerajaan Negeri Kesal Syabas Terus Diberi Lesen Konsesi

SHAH ALAM, 31 Mac - Kerajaan Negeri dalam satu kenyataannya hari ini kesal dengan keputusan kerajaan Persekutuan yang membenarkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) untuk terus beroperasi sebagai konsesi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar, keputusan itu secara langsung telah menyetujui permintaan Syabas hendak menaikkan tarif air.

“Keputusan ini bukan sahaja mendatangkan kesan terhadap pentadbiran negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, sebaliknya terhadap pembayar cukai seluruhnya,” kata kenyataan itu yang berpendapat Syabas tidak layak diberikan lesen kerana ia gagal memperlihatkan prestasi yang memberangsangkan sebagaimana dikehendaki oleh Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.

Perkhidmatan Syabas yang tertakluk pada Perjanjian Konsesi (Concession Agreement - CA) juga dilihat sangat tidak memuaskan selain gagal mencapai tanda aras atau parameter yang ditetapkan CA.

“Kita dapati Syabas melanggar syarat-syarat dalam CA dan perkara ini sudahpun dibawa ke pengetahuan Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, di samping permohonan kita untuk membatalkan Perjanjian Konsesi (CA) dengan Syabas,” jelas kenyataan itu yang memberitahu menteri berkenaan masih enggan mengambil tindakan terhadap Syabas, sebaliknya telah menyatakan hasrat untuk memberikan lesen kepada Syabas untuk meneruskan operasinya dengan alasan hak tersebut di luar kuasa Kerajaan Selangor.

Kenyataan itu juga menyebut, keputusan itu bukan sahaja bertentangan dengan hasrat kerajaan Persekutuan untuk menyusun semula perkhidmatan air di Malaysia tetapi juga menjejaskan kepentingan pengguna seluruhnya.

“Keputusan untuk menaikkan tarif air tidak dapat dipertahankan dan kerajaan negeri percaya beberapa prasyarat bagi kenaikan tarif yang ditetapkan dalam Perjanjian Konsesi belum mampu dipenuhi oleh Syabas,” kata kenyataan itu lagi.

Menurutnya, paling mendukacitakan, beberapa kepincangan ditemui semasa audit dilakukan, dan hal ini menguatkan lagi alasan betapa tidak layaknya Syabas memikul tanggungjawab meneruskan operasi air.

“Berdasarkan pendirian keras yang diperlihatkan oleh kerajaan Persekutuan dan kesan buruk yang bakal menyusul daripada tindakan tersebut, terutamanya terhadap kepentingan awam, maka kerajaan negeri Selangor tiada pilihan lain, sebaliknya mengambil tindakan undang-undang untuk mencari jalan penyelesaian,” kata kenyataan itu.

Bagi orang ramai yang ingin mengikuti dan memahami isu pengurusan air di Selangor, mereka boleh melayari laman web rasmi berhubung isu itu di www.airuntukrakyat.com. - MURIZA ABDUL HAMID

No comments: